Monday, 3 October 2016

Ford Focus vs Mazda 3 (2016)

Saya berkesempatan memandu uji Mazda 3 dan Ford Focus 1.5 Ecoboost secara 'back to back' - kedua-dua showroom terletak di Serdang Raya - jadi dapat perhati perbezaan antara dua model kereta ini pada hari yang sama. Kenapa saya pandu uji dua kereta ini sebabnya masih dalam pencarian idea tentang 'kereta seterusnya' (the next car) jika ingin bertukar selera satu hari nanti. Semoga menjadi panduan bila sampai masa nanti, atau jika ia berguna kepada tuan puan, dipersilakan.

Rekabentuk luaran:
Rekabentuk luaran Ford Focus sama sahaja dengan model sebelumnya kecuali bahagian gril depan kelihatan seperti gril Aston Martin. Lampu belakang sedikit kecil berbanding sebelumnya tapi bentuk masih sama. Saya dari dulu lagi suka rekabentuk luaran Ford Focus tapi sejak ada Mazda 3 dengan Kodo Design ni, jadi dilema. Seriously, siapa berani kata Mazda 3 tak cantik. Kalau tak boleh pilih dua dan terpaksa pilih satu, saya ambil... Mazda 3, lagi-lagi kalau dapat warna Soul Red. - Mazda 3 menang.

Kualiti kabin:
Saya dapati kualiti plastik dan fabrik / kulit yang digunakan dalam Mazda 3 terutamanya di kawasan berdekatan dashboard, centre console, tempat handbrake kelihatan lebih kualiti, lebih sedap dipandang berbanding Ford Focus, tapi bukanlah bermakna kualiti kabin Ford Focus teruk sangat. Dari segi rekabentuk dalaman pun saya lebih hampir kepada Mazda 3. Kabin Ford Focus walaupun ada beberapa penambahbaikan pada centre console tetapi secara keseluruhan masih agak conservative. - Mazda 3 menang.

Pemanduan:
Kita mulakan dengan steering. Saya dapati steering Ford Focus lebih ringan berbanding Mazda 3, terutamanya ketika dalam keadaan perlahan, keluar simpang dsb. Secara peribadi, saya lebih cenderung kepada steering yang ada rasa sedikit berat, jadi soal ini terserah kepada citarasa.

Apabila kereta mula bergerak, Mazda yang dipacu oleh enjin SkyActive 2.0 menghasilkan 162hp@6000rpm dan 210Nm@4000 rpm boleh memecut laju namun rasa agak mendatar.

Ford Focus baru ini menggunakan enjin Ecoboost 1.5 menghasilkan 180ps dan 240Nm dari 1600 ke 5000 rpm, jadi untuk pemanduan biasa-biasa pun terasa bertenaga. Dengan mudah boleh memecut, dengan mudah boleh memotong kenderaan di hadapan tanpa perlu banyak usaha.

Dari segi handling, Ford Focus ada sedikit (sedikit sahaja) kelebihan berbanding Mazda 3. Sedikit sahaja. Ada sedikit rasa 'best' ketika mengambil selekoh. Namun jangan lupa Mazda 3 dengan falsafah Zoom-zoom juga berada dalam kalangan kereta yang mempunyai handling terbaik. Jadi margin perbezaan amat sedikit, tapi Ford Focus masih mendahului. - Ford Focus menang.

Maintenance:
Di sebalik keseronokan memandu Ford Focus, saya boleh membayangkan nak maintain Ford Focus 1.5 Ecoboost ni mungkin perlukan lebih perhatian, berbanding Mazda 3 yang berenjin naturally aspirated. Ford Focus tidak lagi menggunakan gearbox Powershift sebaliknya kembali semula kepada gearbox automatik biasa. Mazda 3 juga menggunakan gearbox automatik 6 kelajuan biasa. Kereta Jepun biasanya mempunyai reputasi reliability lebih baik berbanding kereta dari negara lain. - Mazda 3 menang.

Verdict:
Kepada mereka yang mahukan kereta keluarga dengan prestasi dan kepuasan memandu semata-mata dan sanggup berkompromi dari segi lain, Ford Focus mungkin pilihan yang terbaik. Namun kepada mereka yang mahu kereta seronok dipandu, pada masa sama menarik untuk dipandang dan kabin yang kelihatan lebih kualiti - maka Mazda 3 seharusnya berada dalam radar pemerhatian.

advertlets

nuffnang