Monday, 26 September 2016

Proton Persona & Proton Saga (2016)

Marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran, kerana pada tahun ini, akhirnya Proton mampu menghasilkan kereta yang mempunyai rekaan luaran yang menarik, kualiti dalaman yang mudah diterima, dan enjin yang jimat petrol.

Memandangkan kereta-kereta di Malaysia terutamanya jenama-jenama import dikenakan cukai yang tinggi menyebabkan harga menjadi melambung tinggi, maka pilihan yang tinggal untuk kita ialah untuk Proton insaf tentang peranannya menghasilkan kereta pada harga mampu milik dan pada masa yang sama berkualiti. Mampu milik dan berkualiti. Ya, itu kata kunci penting.

Bermula dengan Iriz, Perdana, Persona dan tak lama lagi kereta ikon Proton, iaitu Saga. Saya dah beberapa kali nampak Iriz atas jalan, dan diakui rekaan luarannya memang menarik. 'Sporty', lain dari lain, nampak solid, nampak steady kalau dipandu laju. Dan yang penting, menurut pemilik-pemilik Iriz, enjin yang digunapakai sekarang memang jimat minyak.

Perdana, walaupun ambil platform dari Honda Accord, tapi rekaan luarannya memang tak ada langsung hint ia berasal dari Accord. Hanya apabila masuk ke dalam kabin baru perasan dashboard Accord. Kualiti material digunakan untuk tempat duduk nampak dan 'rasa' kualiti. Bukan rasa leather murah. Boot sangat luas, rasanya orang pun boleh tidur di dalam. Dek perjanjian dibuat dengan Honda, handling tidak diusik, masih seperti 'typical Japanese car'. Semoga pada masa akan datang boleh disuntik Proton handling.

Ok, Proton Persona ada iras-iras Proton Iriz, dan itu sebenarnya sangat bagus. 'Iriz sedan' dari depan cantik, nampak garang, beralih ke tepi...tayar jelas nampak kecil. Alangkah baiknya kalau boleh masukkan tayar yang lebih besar sedikit. Disebabkan nak dapatkan boot besar, maka keretanya direka meninggi, tapi tayarnya tetap kecil.

Saya telah memandu uji Proton Persona baru ini, dan saya berpuas hati dengan kualiti luaran dan dalaman berbanding harga, dengan kesenyapan dalam kabin, dengan bagaimana suspension menyerap hentakan permukaan jalan yang tidak rata, dengan cara ia selekoh. Malah CVT pun tidak lagi kedengaran bunyi tidak enak. Ini sudah bagus.

Maka sekarang tinggal Saga untuk melangsaikan tugas menaikkan nama Proton di persada 'otomobil'.

Saga, model ikon bagi Proton, nama yang mempunyai sejarah sepanjang penubuhan Proton.

Marilah sekali lagi kita memanjatkan kesyukuran, kerana jurutera-jurutera Proton telah diberi petunjuk dan hidayat supaya tidak mendugongkan Saga, supaya mengendahkan sebentar persaingan boot besar yang sudah sampai ke tahap merepek, (lama-lama kereta semua jadi bentuk van) menjadikan ukuran Saga terbaru ini panjang sedikit, lebar sedikit, tetapi tidak meninggi! Ini kombinasi yang menarik menjadikan proportion Saga baru lebih seimbang.

Hari ini 26 Sept, 2016, dalam minggu ini dijangka pelancaran Saga baru 2016. Sudah banyak gambar-gambar bocor di internet, rekaan belakang Saga memang terbaik. Dari depan, rekaan selamat, tapi tak apa, dengan kreativiti, ini bisa diselesaikan dengan sedikit touch up.

InsyaAllah, selepas pelancaran Saga nanti bila unit pameran dan pandu uji sampai di Putrajaya, akan ada peluang untuk lihat lebih dekat dan uji prestasi atas jalanraya sekali.

Bersambung.

advertlets

nuffnang