Saturday, 15 September 2012

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (Komen)

Bahawa pendidikan itu secara asasnya ada 3 tujuan:-

1) mendidik kemanusiaan - "humanity" - (sifat-sifat mulia sebagai insan)
2) mempelajari skil sesuai dengan keadaan zaman (contoh: ekonomi, teknologi, food supply etc.)
3) memelihara keseimbangan dalam hal kemanusiaan dan keperluan zaman (dengan memahami nilai-nilai universal & tujuan penciptaan)

Dan bahawa manusia perlu memenuhi ciri tertentu untuk menjadi manusia yang baik, atau insan. Kalau manusia tidak berkelakuan seperti manusia yang sewajarnya, maka kita panggil 'manusia cuma pada nama', walaupun mempunyai segulung kelulusan.

Sama juga bila kita sebut tentang sebahagian orang Islam yang tak berkelakuan atau bertindak sejajar dengan ajaran Islam, kita kata 'ni Islam cuma pada nama'.

Proses pendidikan kritikal dalam pembentukan seorang manusia yang wajar (insan). Seorang insan bukan semestinya lulusan dengan susunan A pada sijil.

Permasalahan pendidikan yang ada sekarang ialah obsesi terhadap bilangan A tetapi semakin pudar kualiti dan nilai. Secara peribadi saya memanggil fenomena ini sebagai 'inflasi A'. Di mana kita terlalu menekan kepada skor A dalam keputusan peperiksaan, terlalu sibuk menghabiskan waktu malam di kelas tiusyen, tapi hasil sebagai seorang manusia, tak baloi.

Sampaikan ada kes pelajar yang tidak dibenarkan ambil peperiksaan kerana pihak sekolah mahu menjaga rekod kelulusan. Kerana obsesi dengan peratus kelulusan dan bilangan A.

Jenayah pelajar semakin meningkat dan semakin bombastik. pukul buli sampai mati, rogol rakan sebaya bergilir-gilir, pukul cikgu, bunuh pensyarah, rompak bersenjata, hisap dadah, dilakukan oleh pelajar sekolah. Apabila benda ini dikemukakan kepada umum, jawapan pihak atasan mudah, 'ini kes terpencil dan keadaan masih terkawal'.

Ada guru besar, pengetua yang seboleh mungkin cuba menyembunyi kes-kes salahlaku pelajar kerana mahu menjaga rekod sekolah, dan semestinya rekod mereka sendiri.

Pendidikan Malaysia mesti keluar daripada kesilapan lalu dan kembali kepada tujuan sebenar pendidikan.

Sayang kita ada falsafah pendidikan negara yang sangat cantik, tapi falsafah tinggal falsafah yang hanya difahami oleh pengarangnya, manakala mereka yang bertanggungjawab dalam sektor pendidikan seakan tidak faham maksud yang terkandung dalam falsafah pendidikan negara.

Lagi satu permasalahan sistem pendidikan kita, gagal membentuk identiti kebangsaan dan kefahaman sivik seragam merentasi perbezaan etnik dan agama. Orang Melayu, Cina, India dan lain-lain berfikir dalam frekuensi berbeza dan dalam partition masing-masing. Nak sama-sama pastikan jalanraya awam kita selamat pun tak mampu, sebab masing-masing fikir lain-lain.

Kita mengharapkan dengan adanya pelan pembangunan pendidikan ini, pelajar dibentuk dengan karakter yang layak dipanggil manusia (character building). Apabila mereka sudah terlepas ke dalam masyarakat, kemudian menunjukkan punggung ke arah gambar pemimpin, sudah terlambat untuk diperbetulkan.

Dan seperti kita sedia maklum, hukuman keras semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah.

(Komen peribadi seperti di bawah)

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

11 anjakan yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025:
1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
2. Memastikan setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.
3. Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai.
4. Transformasi keguruan sebagai profesion pilihan.
5. Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.
6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan.
7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.
8. Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan.
9. Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.
10. Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit.
11. Meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam.
Komen:
1. Sekolah kebangsaan mesti ke hadapan dalam menyediakan pendidikan berkualiti antarabangsa, jauh meninggalkan sekolah-sekolah jenis lain, termasuk sekolah persendirian.

2. Penekanan mesti kepada kemahiran perbualan (conversation), dalam kebanyakan masa bahasa diguna untuk perbualan, atau untuk pembentangan / presentation. Sekurang-kurangnya, tak pernah lagi terjadi bila orang tanya sesuatu dalam bahasa Inggeris, mula-mula ternganga, lepas tu ambil pen tulis atas kertas tunjuk pada orang yang tanya.

3. Cara fikir rakyat secara keseluruhan mesti diperbaiki, kalau tak, susah nak melangkah maju, masih bersangkut pada isu-isu 'kitar semula' (termasuk isu politik, agama dan perkauman) setiap tahun.

4. Profesion guru mesti kembali berada di pilihan atas. Sekarang orang pilih profesion berdasarkan yang mana beri banyak duit (hence lebih kiasu), berbanding berdasarkan nilai sumbangan (contribution).

5. Guru besar dan pengetua mesti jujur dan amanah, bukan sembunyi kes sebab nak jaga rekod. Akibatnya, menghasilkan rekod yang tak benar / laporan yang tak 'real'. Apabila sudah terlepas ke dalam masyarakat, mustahil untuk patah balik.

9. Platform untuk terima input daripada ibu bapa, komuniti dan sektor swasta mesti sentiasa terbuka dan berterusan, supaya pendidikan respon kepada perubahan dan cabaran baru.

10. Setuju, pelaburan kena berbaloi. Kalau sudah belanja ribu juta tetapi peningkatan cuma 2-3%, akan membuka kepada persoalan.

11. Elakkan bermain dengan graf dan statistik yang tak melambangkan realiti / situasi yang sebenar. Peningkatan bilangan A semata tidak melambangkan progres, sebaliknya muncul fenomena 'inflasi A'.

advertlets

nuffnang