majalah solusi online

Tuesday, 3 August 2010

Beza maksud kaum dan bangsa

Dalam media arus perdana kita selalu baca atau dengar isu-isu berkaitan nasib kaum Melayu dan masa depan bangsa Melayu. Terutamanya kenyataan yang keluar dari ahli politik untuk meraih undi.

Apa perbezaan di antara kaum dan bangsa?

Sebenarnya penggunaan dua perkataan ini sudah bercampur aduk dan tersasar daripada definisi asal. Kalau dalam fizik, "laju" dan "halaju" adalah dua terma yang mempunyai definisi berbeza walaupun kedua-duanya berkaitan objek yang bergerak.


Bangsa

Bangsa, merujuk kepada "kumpulan manusia yang sama asal-usulnya atau sifat-sifatnya". Contoh: bangsa Arab di seluruh tanah Arab, bangsa Melayu di seluruh tanah Melayu meliputi Kemboja, Thailand, Indonesia, Malaysia, Brunei, Filipina.

Atau, bangsa boleh juga bermaksud "kumpulan manusia yang menjadi rakyat sebuah negara", contoh: bangsa Indonesia, bangsa Malaysia, bangsa Amerika.

Bayangkan: sekeping tanah berbentuk segiempat, dalamnya ada titik-titik (orang). Bangsa = manusia yang menghuni suatu kawasan.


Kaum

Kaum merujuk kepada "salah satu golongan manusia yang menjadi sebahagian kepada suatu bangsa", atau dalam perkataan lain: "salah satu komponen yang membentuk satu bangsa", atau kadangkala "kaum" dikenali juga sebagai "suku bangsa".

Kaum = suku kepada suatu bangsa.

Contoh: kaum India dalam bangsa Malaysia, kaum Cina dalam bangsa Malaysia, kaum Melayu dalam bangsa Malaysia, kaum Jawa dalam bangsa Indonesia, kaum negro dalam bangsa Amerika.

Bayangkan: satu couple bermata sepet, kemudian bila beranak, anaknya pun mata sepet. Atau satu family kulit coklat, anak-anaknya kulit coklat. Itulah kaum. Manusia yang berketurunan / genetik dan mewarisi adat tradisi.



Kabur tentang kaum dan bangsa

Apabila ada ahli politik yang bercakap contohnya tentang isu hak istimewa Melayu, ia sebenarnya merujuk kepada salah satu "kaum" dalam negara Malaysia, bukannya bangsa.

Dalam satu kawasan bersempadan atau dipanggil negara yang bernama Malaysia, rakyat yang menduduki tanahnya dipanggil "bangsa Malaysia". Bangsa Malaysia terdiri daripada antaranya kaum Melayu, kaum Cina, kaum India dan lain-lain kaum.

Bahasa rasmi yang ditetapkan untuk bangsa Malaysia dan termaktub dalam perlembagaan negara ialah bahasa Melayu. Oleh itu semua kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain, sebagai bangsa Malaysia seharusnya boleh berbahasa Melayu dengan baik sebagai identiti kebangsaan mereka.

Cuba lihat bagaimana Indonesia didik bangsa mereka menggunakan satu bahasa, iaitu bahasa Indonesia. Tak kira samada kaum Melayu, kaum Cina dan sebagainya, mesti boleh berbahasa Indonesia dengan fasih.

Hakikatnya, Indonesia lebih faham definisi bangsa Indonesia dan penggunaan satu bahasa, iaitu bahasa Indonesia sebagai identiti bangsa.

Di Malaysia, ada yang tidak boleh bertutur bahasa Melayu walaupun negara sudah 50 tahun merdeka. Negara yang kabur dan tidak jelas tentang identiti bangsa, tidak akan mencapai status maju.


Perjuangan bangsa atau kaum?

Kalau betullah ada pihak yang mahu memperjuangkan masa depan bangsa Melayu, maka perjuangan itu mesti meliputi semua orang Melayu yang berada di Kemboja, Thailand, Indonesia, Malaysia, Brunei, Filipina dan tempat-tempat lain. Barulah ia dikira sebagai "perjuangan bangsa Melayu".

Tapi perjuangan bangsa tak ada kaitan dengan hak istimewa atau artikel 153. Perjuangan hak istimewa dalam artikel 153 adalah perjuangan tentang hak"kaum Melayu di negara Malaysia".

"Perjuangan bangsa" mesti bermula dengan pendidikan, bukan hak istimewa.

Keyword: Pendidikan

Hint: Orang lapar (= miskin) kalau diberi ikan (= subsidi) akan habis, sepatutnya diajar cara menangkap ikan (= proper education).


Sekian, penjelasan serba ringkas tentang perbezaan kaum dan bangsa, sama-sama kita ambil pelajaran semoga tindakan kita tak dipengaruhi oleh sentimen dan prasangka semata.


P/S: ("kaum" yang disebut dalam AlQuran bukan merujuk kepada keturunan)

advertlets

nuffnang